Magahau adalah satu perayaan besar-besaran suku kaum Rungus di Sabah. Konsep Magahau telahpun dibentangkan, diperbahaskan dan telah dibuat satu resolusi di dalam Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009, anjuran Mahkamah Anak Negeri Daerah Kecil Matunggong. Konvensyen tersebut dihadiri oleh pengamal Undang-undang Adat Rungus dari seluruh Daerah Kudat, Daerah Kecil Matunggong, Daerah Kota Marudu dan Daerah Pitas iaitu daerah-daerah yang mempunyai penduduk Rungus yang ramai.
Magahau ialah perayaan suku kaum Rungus yang terbesar dan dirayakan setiap tahun atau selang beberapa tahun. Pada masa dahulu, lazimnya Magahau dirayakan oleh beberapa kampung atau sekurang-kurangnya satu kampung atau beberapa keluarga. Ini menunjukkan Magahau adalah perayaan yang dianggap besar oleh suku kaum Rungus.
Mengikut resolusi Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009, konsep Magahau adalah berbeza dengan Kamatan. Motif perayaan Magahau adalah lebih umum dan tidak terikat dengan kegembiraan selepas menuai seperti mana konsep pesta menuai (Kamatan).
Konsep Pesta Menuai (Kamatan) yang dirayakan pada 30 & 31 Mei setiap tahun mempunyai persamaan yang banyak dengan konsep Mongulok di dalam suku kaum Rungus. Sementara konsep Magahau adalah jauh berbeza dengan konsep Kamatan suku kaum Kadazan atau Dusun.
Suku kaum Rungus lazimnya akan Magahau atau menyambut Magahau dalam keadaan-keadaan seperti berikut:
- Mempunyai makanan yang mencukupi atau berlebihan pada tahun tersebut dan berhasrat untuk membuat perayaan secara besar-besaran.
- Mengadakan aktiviti ritual yang akan mengorbankan banyak haiwan ternakan. Lazimnya apabila terdapat aktiviti ritual seperti Mamapak Mamasi Pomogunan, yang mengorbankan banyak haiwan ternakan, suku kaum Rungus pada ketika itu akan mengistiharkan Magahau dan memanggil saudara-mara dari kampung lain untuk datang bertandang. Ini kerana terdapat banyak makanan daripada korban haiwan ternakan tersebut.
- Kehidupan yang makmur dan ingin berkongsi kegembiraan bersama saudara mara, kampung-kampung berdekatan dan orang ramai.
Pada masa dahulu Magahau boleh diadakan pada bila-bila sahaja dirasakan sesuai dan tidak terikat kepada mana-mana tarikh atau musim seperti selepas menuai atau tahun baru.
Berdasarkan penjelasan di atas, Magahau bolehlah ditakrifkan sebagai perayaan besar-besaran suku kaum Rungus yang bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan kerana mendapat rezeki yang berlebihan pada sesuatu ketika dan berkongsi kegembiran tersebut bersama saudara mara, kampung-kampung yang berdekatan serta orang ramai. Rezeki di dalam konteks Rungus zaman dahulu adalah makanan yang berlebihan, hasil tanaman yang banyak dan kehidupan yang makmur.
Magahau dan Ritual
Magahau adalah suatu perayaan yang bersifat bukan ritual. Magahau juga adalah suatu entiti yang berbeza dan berasingan dengan upacara bersifat ritual seperti Mamapak, Lumuvas, Mongulok, Papak Tavasi, Papak Taraat dan seumpamanya. Namun Magahau sering dikaitkan dengan upacara-upacara ritual tersebut. Ini disebabkan suku kaum Rungus zaman dahulu mempunyai kepercayaan bahawa sesuatu perayaan tidak boleh dilakukan tanpa tujuan atau aktiviti yang bersifat ritual. Sehubungan dengan itu semua perayaan Magahau pada masa dahulu mestilah dikaitkan dengan aktiviti ritual. Tanpa aktiviti ritual, suku kaum Rungus tidak boleh berpesta dan jika ingkar mereka akan diganggu atau mendapat malapetaka daripada roh-roh yang jahat pada ketika itu. Oleh itu walaupun suku kaum Rungus tidak berhasrat untuk melakukan aktiviti bersifat ritual, mereka terpaksa juga melakukannya sekiranya ingin perayaan mereka bebas daripada gangguan roh-roh jahat.
Sehubungan dengan itu, sekiranya Magahau tersebut disambut tanpa tujuan ritual, maka tarikh pelaksanaannya perlulah diserentakkan dengan aktiviti yang ada kaitan dengan ritual seperti Lumuvas, Mamapak, Mongulok dan sebagainya. Menurut Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009, kelazimannya, pada zaman dahulu, setiap kali Magahau, ada sahaja keluarga yang turut sama lumuvas pada hari yang sama dengan perayaan tersebut. Ini secara langsung dapat mengurangkan kos dan lebih memeriahkan lagi Magahau pada ketika itu.
Pada masa kini, Magahau boleh dilaksanakan tanpa aktiviti ritual. Ini disebab majoriti suku kaum Rungus sudah memeluk agama Kristian atau Islam dan tidak lagi terikat dengan kepercayaan lama.
Dalam pelaksanaan Magahau anjuran SAMORA, Magahau dan Mamapak adalah dibezakan dan diurus secara berasingan. Magahau diurus oleh pihak SAMORA dan Mamapak diurus oleh Rungus yang masih memegang kepercayaan lama (labus). Pesta Magahau diurus oleh Rungus pelbagai agama dan upacara ritual Mamapak diurus dan dilaksanakan oleh suku kaum Rungus yang masih mengamalkan kepercayaan lama (labus). Alternatif lain pelaksanaan Mamapak yang dicadangkan oleh SAMORA ialah dengan melakonkan semula upacara ritual tersebut. Perkara ini dilakukan untuk tujuan menarik pelancong.
Perbandingan Kamatan (Pesta Menuai) dan Mongulok
Mongulok adalah perayaan suku kaum Rungus selepas menuai yang mempunyai persamaan dengan Kamatan. Perayaan ini dilaksanakan setiap tahun selepas selesai menuai padi. Padi yang telah dituai disimpan di sulap. Sulap ialah sebuah pondok untuk menyimpan padi. Pada zaman dahulu, orang rungus mengetam padi huma menggunakan linggaman. Linggaman ialah sejenis alat untuk mengetam padi menggunakan tangan. Dengan menggunakan linggaman tangkai-tangkai buah padi dipotong dari pokok padi. Tangkai-tangkai buah padi itulah yang dikumpulkan di sulap. Setelah selesai mengetam padi, buah-buah padi tersebut perlu dipisahkan daripada tangkainya. Cara yang digunakan ialah dengan memijak tangkai-tangkai padi tersebut agar buah-buah padi dapat dipisahkan daripada tangkainya. Aktiviti memijak tangkai-tangkai padi menggunakan kaki di sulap tersebut dipanggil mongulok. Buah-buah padi yang telah dipisahkan daripada tangkainya disimpan di dalam tempat menyimpan padi berbentuk silinder yang dipanggil lingkut. Lingkut diperbuat daripada kayu dan kulit kayu.
Kebiasaannya upacara ritual akan dilakukan sebelum mula mengetam padi dan sebelum mula Mongulok. Setelah aktiviti mongulok selesai, lazimnya pemilik ladang huma akan memberikan jamuan di sulap tersebut dan kadang kala berterusan sehingga ke rumahnya. Pada ketika itu semua suku kaum Rungus tinggal di rumah panjang. Kemeriahan jamuan selepas mongulok tersebut bergantung kepada jumlah hasil padi yang dituai pada tahun tersebut. Adakalanya jamuan selepas mongulok menjadi satu pesta yang agak besar dan ada kalanya jamuan hanya diadakan di ladang khusus untuk mereka yang membantu memijak padi di sulap.
Jamuan selepas mongulok biasanya menjadi lebih meriah jika hasil tanaman dianggap mencukupi atau berlebihan dan sebaliknya jika hasil tanaman tidak seberapa. Jamuan selepas mongulok menjadi sangat meriah apabila beberapa keluarga melakukan aktiviti mongulok secara serentak. Akhirnya kemeriahan aktiviti mongulok dianggap sebagai salah satu perayaan suku kaum Rungus. Perayaan yang terbentuk daripada proses tersebut di atas dinamakan Mongulok.
Keutamaan Magahau
Menurut Konvensyen Undang-undang Adat Matunggong 2009, apabila Magahau diisytiharkan maka perayaan-perayaan lain suku kaum Rungus dengan sendirinya dianggap sebagai turut serta sahaja (jika berlaku di dalam tarikh yang sama) di dalam perayaan tersebut dan jemputan (timbagos) kepada kampung-kampung berhampiran dihantar atas nama perayaan Magahau. Ini bermaksud beberapa perayaan suku kaum Rungus boleh digabungkan menjadi satu perayaan yang besar yang dinamakan Magahau.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Kamatan adalah perayaan suku kaum Kadazan dan suku kaum Dusun. Kamatan bukanlah perayaan suku kaum Rungus. Sungguhpun terdapat banyak perayaan suku kaum Rungus tetapi pesta Kamatan bukan salah satu daripada perayaan suku kaum Rungus. Terdapat pelbagai perayaan yang dirayakan oleh suku kaum Rungus seperti Mongulok, Lumuvas dan sebagainya, namun perayaan yang terbesar ialah Magahau. Sehubungan dengan itu, sewajarnyalah Magahau dijadikan sebagai salah satu icon bagi suku kaum Rungus.